Thursday, May 29, 2008

ISU EZAM : ADA POSITIFNYA

Bermula dengan khabar2 angin, akhirnya sah sudah berita Ezam menyertai semula Umno. 'Majlis' menyambut kemasukannya dilaporkan dengan gambar penyerahan borang kepada Presiden Umno. Ezam kini ahli parti Umno seumur hidup. Banyak komen gembira diberi oleh 'orang-orang besar' Umno mengenai kemasukan semulanya. Untuk seketika, kisah 'yang keluar' menjadi sepi. Begitulah signifikannya Ezam kepada Umno.

Siapa Ezam? Beliau orang politik yang boleh dikatakan penuh 'warna warni'. Di satu ketika, beliau 'membelasah' Umno sedaya mungkin atas sebab tidak bersetuju dengan kepimpinan Umno ketika itu. Beliau kemudiannya, keluar Umno dan menyertai parti Keadilan, dengan memegang jawatan penting di dalamnya. Tindakan beliau memang dapat dijangkakan pada masa itu. Beliau memang diketahui pengikut setia dan anak didik kepada DSAI. Sehinggakan, jika kita memejam mata mendengar beliau berucap, kita boleh jadi terkeliru antara beliau dengan DSAI, dek persamaan gaya pengucapan antara mereka berdua - 'ke mana tumpahnya kuah guru kalau tidak ke nasi muridnya'. Malahan, 'kotak rahsia' begitu sinonim dengan Ezam. Hingga kini, kotak itu kekal dengan rahsianya.

Atas sebab tertentu, beliau meninggalkan parti Keadilan. Beliau bersama dengan GERAK, memperjuangkan isu anti rasuah dan menegakkan ketelusan pentadbiran. Dan hari ini, beliau melepaskan kedudukan beliau di dalam GERAK, menyertai semula Umno, tanpa syarat. Inilah yang mewarnai kerjaya politiknya.

Di dalam membicarakan hal kemasukan semulanya, saya mengambil sikap positif. Saya memilih untuk tidak mempersoalkan nawaitunya, mempertikaikan matlamatnya. Saya bersangka baik terhadap kemasukan semulanya -'berlapang dada jauh lebih baik daripada bertanya-tanya di dalam kepala'.

Apa salahnya jika ada yang sudah mula menyedari kesilapannya yang lalu. Apa salahnya dengan memberi peluang kali kedua. Mungkin beliau sudah insaf. Mungkin hatinya telah berubah - 'sedangkan pantai lagi boleh berubah, inikan pula hati manusia'. Tetapi, parti juga perlu waspada, bukan wasangka. Dalam kita bersangka baik, kita juga mestilah sentiasa berhati-hati. Tak mustahil pula 'pisang berbuah dua kali'. Saya bukan menghasut, sekadar memberi peringatan kepada parti, dengan tujuan murni.

Kepada Ezam, selamat kembali kepada parti Umno. Saya yakin ramai ahli Umno akan menyambutnya, jika kena pada niat dan tujuannya. Ezam perlu tabahkan hati jikalau berhadapan dengan kalangan ahli Umno yang masih mengingati sejarah lamanya menghentam Umno, yang masih mengimbas keceluparannya mengata Umno pada satu ketika dulu - 'luka walaupun telah sembuh, namun parutnya masih ada'.

Maka, buktikan kepada mereka bahawa kini Sdra benar-benar ahli Umno, seumur hidup. Yang tidak ada toleransinya di dalam mempertahankan maruah parti, walaupun terpaksa pula 'membelasah' pihak yang pernah menjadi sekutu Sdra dahulu. Masa akan menentukan keikhlasan Sdra kepada parti Umno. Semoga Umno kembali 'mengangkat kepala' dengan kehadiran Sdra.

Kepada parti Umno, secara positifnya, apabila seseorang yang cukup agresif di dalam perjuangan menuntut ketelusan, memilih untuk menyertainya, maka ia akan memberi gambaran kepada umum bahawa Umno ialah sebuah parti yang paling telus. Hujah ini cukup kuat, apatah lagi parti ini semakin dipersoalkan ketelusannya.

Cuma, saya berharap di pihak pucuk kepimpinan, di dalam keghairahan menyambut 'bakal pahlawan seumur hidupnya', jangan terlupa kepada mereka-mereka yang bergelar 'ahli parti setia seumur hidup'. Mungkin mereka tidak punya nama sehebat Ezam, tidak punya pengikut seramai Ezam tetapi ingatlah, mereka juga ada peranan kepada parti, ada sumbangan kepada perjuangan parti dan juga punya perasaan sayang kepada parti - yang terpenting, tidak memiliki kesilapan silam seperti Ezam kepada parti. Kadangkala, keghairahan seseorang akan menyakiti hati seseorang.

Inilah cerita politik. Ada yang keluar, ada yang masuk. Selagi tajuknya politik, maka isi ceritanya juga politik. Jangan fikir skrip cerita politik ini akan tamat di sini. Pasti ada lagi kisah-kisah baru yang akan muncul.

Apapun, dalam berpolitik, kita jangan lupa batasan. Jangan sampai tergadai kedaulatan negara, tercemar maruah bangsa, terbiar rakyat jelata. Kalau ia terjadi, tiada siapa yang akan untung. Sebagai rakyat Malaysia, 'air dicincang tak akan putus'.

Sekadar satu catatan pandangan peribadi.

p/s : takut dengan 'kotak beracun' ketika majlis sambutan harijadi!

2 comments:

qalamberbisa said...

salam,

isu ezam antara yang menarik untuk dikupas dan aku jua setuju dengan sahabat ku ini bahawa ezam jua punya sejarah yang tersendiri..mamat kotak kata sesetengah orang..

cuma kita pandang jauh dan mendalam perkara ini. jangan buat analisa melulu dan keputusan yang tidak rasional..berfikir secara matang demi parti keramat kita..

renung2kan bersama
-adios amigos-

my-fikirr menulis said...

Assalamualaikum qalamberbisa,

Tkasih krn bersetuju dgn sesuatu per yg saya nyatakan, sebagaimana saya juga bersetuju dgn saranan Sdri agar kita berfikir secara matang demi parti keramat kita.

Cuma satu persetujuan peribadi.