Sunday, June 22, 2008

ISLAMISASI UMNO

Saya melihat banyak persoalan pelik-pelik berlaku ketika ini dalam kancah politik negara.

Politik Umno di negara kita semakin berkecamuk. Hari ke hari, berbagai 'kemelut' yang timbul. Situasi ini memang jelas dilihat oleh ahli Umno. Rakyat juga tidak ketinggalan menilai perkara yang serupa, walaupun ketika ini bertungkus lumus mencari jalan mengatasi permasalahan kenaikan harga barang. Tetapi, sikap 'nafi menafi' masih bermain di bibir kepimpinan ketika ini. Tak ke pelik?

Saranan seorang Mufti agar empat pemimpin besar orang Melayu duduk semeja membincangkan perihal nasib bangsa Melayu, kian sepi terbiar begitu sahaja. Tetapi semua pemimpin Melayu gah bercakap setiap hari soal penyatuan bangsa Melayu, soal pembelaan bangsa Melayu dan sebagainya yang berkaitan survival bangsa Melayu. Tak ke pelik?

Pernyataan taat setia sekali lagi menjadi 'modal' kepimpinan sekarang. Masing-masing di berbagai peringkat tidak mahu terkebelakang dalam soal menzahirkan sokongan taat setia. Nampaknya tahap kesetiaan tak perlu diragui. Dalam masa yang sama, persoalan undi tidak percaya di dalam Parlimen pula yang menjadi bahan bualan. Tak ke pelik?

Laporan akhbar menceritakan beberapa kes-kes lama kembali akan disiasat. Berbagai ulasan telah disiarkan dengan satu matlamat bahawa kepimpinan amat-amat menekankan soal ketelusan dan keadilan. Tetapi beberapa kes terbaharu, malahan yang telah dibangkitkan di dalam Parlimen, seolah-olah tidak membawa makna untuk disiasat demi ketelusan. Tak ke pelik?

Banyak lagi soal pelik-pelik ini. Maka, saya terfikir di mana letak puncanya penyelesaian kepada kemelut ini semua?

Saya merumuskan bahawa kunci kepada penyelesaian ini ialah kita mesti kembali kepada ajaran Agama Islam yang sebenar-benarnya.

Dan Umno sebagai parti terbesar, mesti dahulu mengambil langkah untuk mengamalkan keseluruhannya nilai-nilai kepimpinan Islam di dalam parti, di semua peringkat kepimpinannya.

Tiada kompromi di dalam soal ini. Tiada dolak-dalik. Tiada tangguh-tangguh.

Umno perlu diislamisasikan. Dan masalah pasti terungkai. Yakinlah....

Sekadar rumusan peribadi.

p/s : suka baca kisah kepimpinan Khalifah Umar Al Khattab

Tuesday, June 17, 2008

JIHAD ILMIAH PEMUDA UMNO

Isu kurangnya pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan di IPTA bukanlah satu isu baru. Sebelum laporan akhbar hari ini, hal ini telah diperkatakan oleh ramai pihak. Tetapi perkara ini tetap menjadi isu juga.

Ini bermakna perubahan yang diharapkan masih tidak berlaku.

Ya...kita boleh berbahas mengenai faktor punca terjadinya isu ini.
Kita juga boleh membuka lembaran berjela bagi menyenaraikan kesan yang akan berlaku jika fenomena sebegini berterusan.
Tak kurang juga kita boleh menyediakan beberapa fail bertimbun bagi mendokumenkan beberapa kertaskerja yang boleh kita dapat jika kita bertanya soal mengatasinya.

Malahan, saya yakin di pihak tertentu memang telah ada yang 'menyimpan'nya pun.

Cuma...mesej yang saya ingin sampaikan di sini ialah rayuan saya kepada Pergerakan Pemuda Umno Malaysia ( bermula di peringkat pusat hinggalah ke peringkat cawangan ) untuk menjadikan agenda mengatasi isu ini sebagai fokus utama semua ahli Pemuda Umno.

Tidak mengapa...ahlinya mungkin berlainan 'pilihan' tetapi di dalam soal mengatasi isu ini, setiap ahli Pemuda Umno mesti bersatu hati, mesti satu istiqamah dan mesti satu matlamat. Tiada jalan berpatah balik.

Benar...agenda ini akan mengambil masa memandangkan ianya bersifat nasional dan berakar umbi. Tetapi, ianya mesti juga difikirkan jalan penyelesaiannya.

Untuk itu, saya ingin mencadangkan kepada kepimpinan Pergerakan Pemuda Umno :

1) kita bermula dengan proses kesedaran kepada setiap ahli Pemuda di peringkat akar umbi bahawa isu ini amat penting di dalam soal maruah lelaki selaku bakal tonggak sesebuah keluarga.

2) mewajibkan isu ini untuk dibahaskan pada Persidangan Tahunan Pemuda Umno bermula di peringkat Cawangan pada bulan Julai ini bagi mendapatkan maklumbalas ahli.

3) menubuhkan badan Sekretariat Khas bagi menangani isu ini di peringkat Pemuda Umno Bahagian dan Pusat yang berasingan dengan Biro Pelajaran Pemuda Umno agar ianya lebih fokus.

Secara amnya, Pergerakan Pemuda Umno sudah perlulah memulakan Jihad Ilmiah ini.

Sekadar rayuan peribadi.


p/s : lelaki sekarang dah suka memasak?

Sunday, June 15, 2008

ISLAM DAN RASUAH

Di dalam satu majlis ilmu baru-baru ini, saya difahamkan oleh penceramah bahawa mengikut satu kajian mengenai amalan rasuah di dalam sesebuah kerajaan dan negara, Finland telah menduduki tempat yang teratas dari segi negara paling kurang berlakunya amalan rasuah.

Finland diberi markah 9.9 daripada markah penuh 10.0 keseluruhan.

Yang paling memeranjatkan saya ialah daripada 10 buah negara yang paling kurang berlakunya amalan rasuah, tidak ada sebuah pun negara Islam yang layak tersenarai.

Malaysia dikatakan menduduki tempat yang ke 42.

Jika benarlah pernyataan seperti di atas, terfikir juga di benak kepala saya kenapa orang Barat sering memandang rendah dan hina kepada agama Islam.

Saya amat-amat berharap sekiranya ada di kalangan pembaca yang boleh mengemukakan bukti sahih bagi menafikan pernyataan di atas. Jika ada, sekurang-kurangnya lega juga hati saya.

Sekadar mencari kelegaan peribadi.


p/s : lega tersenarai boleh tuntut rebat minyak...

Wednesday, June 11, 2008

LAMA TAK MENULIS

Assalamualaikum semua sahabat,

Lama sudah saya tidak menulis. Bukannya apa, cuma saya berhadapan dengan situasi kekangan masa. Maklumlah, sekolah dah mula dibuka. Banyak kerja yang nak diuruskan.

Jadi, mohon maaf pada semuanya.

InsyaALLAH...saya cuba membahagikan masa.

Sekadar permasalahan peribadi

p/s : minyak naik ni, cuti sekolah tak bertambah ke....?

Saturday, June 7, 2008

UMNO : GOLONGAN GENERASI ONLINE

Saya berada di KL baru-baru ini. Ketika di sana, saya terserempak dengan 2 perkara yang menarik perhatian saya.

Perkara 1 : saya terlihat sebidang sepanduk jualan di sebuah premis perniagaan yang tertulis ayat 'Jualan Rakyat'. Sekali pandang, saya sudah dapat meneka 'persamaan' maksudnya.

Perkara 2 : saya terserempak dengan 2 pemuda di Jalan Masjid India, memakai 'cap' di kepala yang bertulis nama sebuah parti pembangkang dengan bergrafikkan sebuah rancangan tv terkenal. Dek kerana tertarik, saya memandangnya sekali lagi.

Tiba-tiba saya terimbau semasa tahun 1999. Ketika itu, berbagai-bagai barangan 'dilabelkan' dengan lambang sebuah parti pembangkang yang baru tertubuh, sehinggakan butang baju Melayu pun turut berwajah baru. Cukup kreatif.

Inilah antara kaedah berstrategik parti pembangkang di dalam menarik minat golongan muda. Mereka faham citarasa orang muda, yang mudah teruja dengan sesuatu yang kelihatan kreatif, menarik, terkini dan segar. Sebab itu mereka menawarkan sesuatu yang bersesuaian dengan jiwa muda golongan ini - golongan 'generasi online'.

Saya berpandangan, Umno juga perlu merubah kaedah mendekati golongan muda; golongan penentu pada PRU akan datang. Golongan 'generasi online' ini kurang memahami dan sukar menerima konsep berpolitik corak lama Umno. Mereka lahir dalam zaman serba serbi online.

Untuk itu, saya amat berharap parti Umno, khususnya barisan Pemuda dan Puterinya, wajarlah mencari jalan terbaik untuk mendekati 'generasi online' ini kerana barisan inilah yang paling hampir dengan mereka.

Mungkin kedua-dua sayap ini juga perlu segera mengadakan sesi 'pemukiman', khusus bagi membincangkan kaedah berstrategik bagi menarik minat 'generasi online' bersama parti.

Jika ada pembaca yang bersetuju, maka panjang-panjangkanlah cadangan ini kepada mereka yang berkenaan.

Jika tidak, biarkanlah ia sekadar menjadi pengamatan peribadi saya.


p/s : suka pakai baju Melayu ala Johor.

Friday, June 6, 2008

BAHAGIAN KEDUA : FAKTOR 9

Sambungan...

Pada Bahagian Kedua ini, saya ingin menyentuh perihal yang terjadi pada Umno Bahagian Rembau kerana ia cukup hampir kepada saya. Rembau adalah Bahagian saya.

Umno Bahagian Rembau mempunyai kelebihannya yang tersendiri dibandingkan dengan yang lain di NS. Kelebihannya terletak kepada kedudukan jawatan yang ada pada individu di dalam kepimpinan organisasi Umno Bahagian itu sendiri. Bukan calang-calang kedudukan. Sudahlah Ketua Bahagiannya ialah YAB MB NS, Ketua Pemudanya pula Naib Ketua Pemuda Malaysia dan Ketua Puterinya ialah Setiausaha Puteri Malaysia – kelebihan yang berganda-ganda, bak kata orang ' ibarat anaknya baik, menantunya pula molek ‘. Susah kita nak jumpa kelebihan sebegini pada sesebuah Bahagian dalam Umno.

Dengan kelebihan sebegini, saya berpendapat, sepatutnya Bahagian Rembau menjadi penanda aras kepada gerak kerja Bahagian lain di dalam NS. Tetapi, atas beberapa faktor, ia tidak menjadi sebegitu.

Apakah faktor-faktornya? Saya senaraikan ‘Faktor 9’ seperti berikut :

1) wujud komunikasi yang kurang baik antara barisan kepimpinan
2) wujud persaingan yang tidak perlu sesama kepimpinan
3) terlebih peranan orang tertentu tidak membantu, malah lebih mewujudkan pertelagahan
4) banyak campurtangan telah mengundang perselisihan
5) tiada keikhlasan di dalam sistem penyampaian sesama kepimpinan
6) keghairahan di dalam penonjolan kekuasaan
7) mengabaikan pandangan orang bawahan
8) hilang fokus pada matlamat asal perjuangan
9) kepentingan diri mengatasi amanah yang diberi

Inilah ‘Faktor 9’ yang saya lihat membelenggu Bahagian ini sehinggakan keadaan politiknya menjadi bercelaru. Akibatnya, kita terlepas pandang kepada isu-isu dan permasalahan utama sehinggakan pembangkang telah mengambil keuntungan darinya – ‘ bertelagah antan di lesung, ayam juga yang kenyang’.

Saya menulis pandangan saya secara umum agar ia tidak akan menyentuh mana-mana pihak secara terang. Bukannya apa, dikhawatirkan niat yang baik untuk memberi teguran akan disalahertikan orang.

Benar, pasti ada yang tidak akan senang apabila membaca pandangan ini. Tetapi ingatlah, saya tidak meraih apa-apa keuntungan dengan memperkatakan perkara ini. Niat saya ikhlas demi melihat perubahan di dalam kepimpinan agar ianya akan memberi manafaat kepada semua pihak, terutamanya kepada parti Umno.

Cuma, ketahuilah bahawa ‘ barangsiapa yang berketak maka dialah yang bertelur ’.


Sekadar pandangan peribadi. ( disambung pada Bahagian Ketiga )

p/s : suka makan ayam percik

Thursday, June 5, 2008

MINYAK : KEJUTAN TAK DIUNDANG

Tidak perlu ulas panjang. Semua orang sudah maklum kenaikan mendadak harga minyak secara tiba-tiba. Ramai sedang membahaskannya, bergantung kepada skop pandangan masing-masing. Apapun keputusan sudah diumumkan, tidak akan berubah - 'dianjak layu, dianggur mati'.

Saya juga tidak mahu terkecuali. Nak juga memberi komen pasal isu ini. Bukannya nak menyibuk tetapi sekadar mewarnaikan lagi dunia demokrasi. Lagipun, sebagai pemunya kenderaan, isu ini sudah pasti terpalit juga kepada saya.

Saya tidak mahu menyentuh soal peratusan kenaikan, punca kenaikan, kesan kenaikan dan lain-lain perkara berkait dengannya. Ramai pakar dan 'bukan pakar' dah bercakap dari sudut ini.

Apa yang saya nak komen ialah kaedah yang digunapakai Kerajaan dalam membuat keputusan isu ini - ' kejutan tak diundang '.

Umum menyedari isu minyak ini adalah masalah dunia. Dan umum juga mengikuti perkembangan yang sedang diatur oleh Kerajaan di dalam menangani isu ini. Antaranya ialah larangan kepada kenderaan luar dan yang paling difahami ialah apa akan dilakukan pada bulan Ogos. Sedikit demi sedikit, rasanya rakyat makin lebih memahami.

Entah apa sebabnya, tiba-tiba semalam seluruh rakyat Malaysia diberi kejutan dengan pengumuman kenaikan harga minyak. Lebih daripada 40% naik. Benar, kita telah dibiasakan dengan budaya kejutan-kejutan menerusi Akademi Fantasia, tetapi kejutan tersebut tidak memberi kesan kepada soal kehidupan seorang manusia. Apatah lagi kepada mereka yang berkehidupan susah.

Tahukah kita, kenapa penurunan ayat-ayat suci Al Quran dilaksanakan dengan berperingkat-peringkat, sedangkan Allah swt Maha Berkuasa, lagi Maha Kaya? Kerana ada hikmahnya. Ia berkait dengan soal fitrah dan fikrah manusia.

Justru itu, kalaulah sekiranya Kerajaan mengambilkira hikmah ini di dalam membuat keputusan menaikkan harga minyak, saya cukup yakin rakyat akan lebih memahami dan menerimanya. Tidaklah jadi seperti hari ini. Walau apapun yang Kerajaan cuba jelaskan rasionalnya, ia lebih diterima secara negatif berbanding positif. Tak boleh salahkan rakyat, merekakan orang yang terkejut. Tentulah pengumuman itu disambut dengan berbagai-bagai perasaan - ' dalam laut boleh diduga, dalam hati siapa yang tahu '.

Bagi saya, hanya mampu berdoa semoga isu ini tidak memburukkan lagi keadaan sedia ada. Masing-masing kena mengambil langkah bersesuaian bagi menangani isu ini mengikut kemampuan sendiri.

Kepada Kerajaan, semoga beberapa langkah susulan secara berkesan dapat dicari segera bagi mengurangkan impak ekoran keputusan kenaikan harga minyak.

Cuma, kadangkala saya mengeluh dan terfikir yang Kerajaan sekarang ini ibarat ' lambai tak nampak, seru tak dengar '.

Sekadar keluhan peribadi.

p/s : jarang terima lambaian orang.

Wednesday, June 4, 2008

SEKADAR NAWAITU PERIBADI

Ekoran tulisan saya dalam Bahagian Satu, saya telah menerima beberapa sms yang kurang baik. Belum sempat pun saya menyambung ke Bahagian Kedua, saya telah dikatakan dengan berbagai-bagai tuduhan daripada mereka yang tidak dikenali. Pendekata, tulisan saya dikatakan 'ada udang di sebalik batu'.


Tiba-tiba saya teringat semula kepada istilah 'POLITIK JUMUD' yang pernah saya tulis sebelum ini.


Saya bertanya-tanya...

Apa silapnya dengan tulisan saya?
Adakah saya menulis dengan bahasa kesat sepertimana bahasa sms yang saya terima?
Adakah saya menidakkan kejayaan yang dilakarkan kepimpinan?
Dan yang terpenting, adakah saya mengatakan sesuatu yang tidak benar?

Saya akui pandangan tulisan saya sedikit pahit untuk ditelan tetapi bukankah 'sepahit-pahit semambu pahitnya menjadi ubat, semanis-manis gula berpasir jua'?

Saya teringat pada malam tadi, saya melihat di TV3 bagaimana Hillary Clinton menyebut yang baik kepada Barack Obama semasa beliau menyampaikan ucapannya di khalayak ramai. Kedua mereka adalah musuh dalam politik tetapi mempunyai peradaban yang tinggi. Kedua mereka berbangsa bukan Melayu.

Saya teringat kepada sejarah yang menceritakan bagaimana tingginya keperibadian ramai pahlawan agung Islam terhadap musuh mereka, walaupun ketika mereka memenangi peperangan. Akhirnya ramai di kalangan musuh yang berpaling tadah dengan memeluk Islam hanya kerana tertawan dengan keperibadian tersebut.

Saya juga teringat sirah Nabi Muhammad saw yang mengisahkan kehebatan sikap mulia Baginda terhadap tawanan perangnya sehinggakan kehebatan ini menjadi rujukan para penulis di negara Barat dan menghasilkan sebuah buku mengenai 100 pemimpin terhebat dunia, dengan menobatkan Nabi Muhammad saw di tempat paling atas.

Maka, saya jadi hairan dengan sikap segelintir kita yang masih mengamalkan budaya berpolitik 'muflis peradaban - miskin akhlaq - bankrap keperibadian' ini. Berubahlah, demi kesejahteraan diri sendiri dan juga bangsa kita. Saya percaya bangsa kita akan jadi lebih maju sekiranya kita mampu melakukan perubahan diri.

Justru itu, saya memutuskan, InsyaAllah saya akan teruskan penulisan saya untuk topik tersebut di masa akan datang - ibarat ' kalau berjalan biar sampai ke batas, kalau belayar biar sampai ke pulau '.

Ini adalah kerana niat saya hanya hendak menyampaikan kebenaran, dengan satu pengharapan semoga ada perubahan dalam pemikiran, demi kebaikan semua pihak.

Tanpa ada niat lain. Samada terang mahupun tersembunyi.

Ia cuma sekadar nawaitu peribadi.

p/s : tak suka main 'sorok-sorok. masa budak dulu. Tapi suka main 'konda kondi'.

Tuesday, June 3, 2008

POLITIK UMNO NS ( BAHAGIAN SATU )

Sesudah Politik Jumud, saya rasa teringin nak menulis sesuatu yang lebih dekat kepada saya iaitu Politik Umno Negeri Sembilan ( POLITIK UMNO NS ). Saya tulis di dalam beberapa bahagian.

Semua tahu NS masih dikuasai Kerajaan BN, walaupun hampir-hampir berputih mata seperti jirannya, Selangor. Dengan kehilangan banyak kerusi kepada pembangkang, bolehlah saya andaikan kedudukan Kerajaan NS ibarat 'berputih tetapi sebelah mata'. Itupun dengan tidak mengambilkira apa keputusan mahkamah terhadap petisyen ke atas sebuah kawasan Parlimen di NS. Kalau keputusannya tidak menyebelahi Kerajaan, maka bertambah putihlah lagi mata.

Saya teringat menjelang PRU12, saya ada terbaca kenyataan dalam akhbar bahawa konsep 'check and balance' dalam pentadbiran tidak perlu ada di NS. Maksudnya, pembangkang tidak diperlukan, BN sudah cukup sebagai pentadbir negeri yang baik. Begitulah yakinnya pada masa itu. Hakikatnya yang berlaku, keputusan PRU12 menunjukkan yang 'tak balance' sekarang ialah kedudukan Kerajaan BN.

Terus terang saya katakan, sebagai anak jati NS, saya merasakan bahawa sebenarnya pembangkang tiada kekuatan asli di negeri ini. Untuk bertahun lamanya, NS sentiasa sebagai salah satu kubu kuat BN, terutamanya Umno.

Tiada siapa boleh menafikan bahawa di bawah pemerintahan Kerajaan BN NS, banyak permasalahan lama telah terungkai. Banyak kemajuan infra struktur telah dijalankan. Banyak pembaharuan dalam bidang pendidikan dan ekonomi telah dilaksanakan. Malahan, saya pernah sebut perkara ini semasa berucap sebagai perwakilan di Mesyuarat Bahagian. Semuanya dek kebijaksanaan mentadbir oleh pucuk kepimpinan. Gerak kerja kepimpinan ibarat 'pandai mencincang akar, matilah ke pucuknya'- cukup berkesan. Kita patut berterima kasih kepada kepimpinan Kerajaan BN NS.

Akan tetapi, selama beberapa tahun pentadbiran Kerajaan BN di NS, sebagai rakyat biasa, saya terbiasa mendengar keluhan ketidakpuasan orangramai. Kalau nak disenaraikan, sudah tentu berjela panjangnya. Antaranya, kecelaruan politik Umno NS.

Saya yakin keluhan ini sampai juga ke pengetahuan kepimpinan atasan Kerajaan NS. Tetapi, mereka tidak mengendahkan perkara seremeh begitu. Orang bijak pandai berpesan 'ombak yang kecil jangan ditidakkan'. Dengan menidakkan ombak kecil ini, digulung pula dengan permasalahan nasional, akibatnya bila tsunami politik melanda Malaysia, NS bernasib baik cuma terkena tempiasnya.

Dek celaru ini juga, kejayaan-kejayaan di atas tidak diterima dan dihargai sepenuhnya oleh rakyat NS. Keadaan bercelarunya politik Umno di NS menyebabkan rakyat meluat untuk menghargai kejayaan tersebut. Dalam masa mereka menikmati semua ini, mereka juga memutuskan untuk menghakimi pada pilihanraya.

Pendekata, keadaan politik Umno NS ibarat 'berebut tembikar yang pecah' - berkonflik kerana perkara yang merugikan.


Disambung pada Bahagian Kedua.....

p/s : konflik besar bila paip air di rumah pecah.

Sunday, June 1, 2008

POLITIK JUMUD

Sejak kebelakangan ini, timbul pula sindrom mempersoalkan kedudukan seseorang. Ada Menteri yang pertikaikan kedudukan seseorang sebagai Pengerusi SIC. Ada Menteri yang bertukar Kementerian pun menyokong. Tak reda lagi, timbul pulak persoalan mengaitkan kedudukan seseorang sebagai Presiden sebuah universiti.

Saya tak mahu komen nawaitu orang yang membangkit dan mempersoalkan perkara ini. Kalau kita tengok isu yang terbeban pada individu dipersoal dan latar belakang si penyoal, maka pejam mata pun kita sendiri boleh teka motif mereka - 'sudah terang lagi kan bersuluh'.

Cuma, ekoran persoalan ini, maka timbul pertanyaan dalam kepala saya :

1) generasi sekarang adalah golongan yang berfikiran terbuka dan rasional. Apa agak-agaknya mereka fikir bila melihat pertikaian ini dibangkitkan? Keterbukaan Kerajaan Pusat? Atau kesempitan berfikir Menteri Kerajaan Pusat?

2) ramai mengkagumi dan menghargai apabila melihat kesediaan PM menyambut kunjungan Ketua-Ketua Kerajaan Negeri Pembangkang selepas PRU12. Samada si penyambut mahupun yang disambut. Maka, pertikaian begini bolehkah dilihat dari sudut kekaguman yang sama? Atau rasa jelek dan meluat melihat benda 'bermotif tersembunyi' dibangkitkan?

3) beberapa jawatan telah ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Pembangkang kepada individu yang bukan dari parti mereka. Untuk rekod, ada yang telah menerimanya, walaupun persoalan dari sudut disiplin parti dihujahkan kepada mereka. Orangramai melihat perkara ini sebagai satu kematangan dalam politik. Adakah pertikaian yang dibangkitkan Menteri-Menteri ini akan mengundang persepsi yang sama dari orangramai?

4) pernah timbul semasa kempen PRU12 satu persoalan timbul apabila melihat bendera Umno lebih banyak dinaikkan berbanding BN, maka masyarakat secara sinis tetapi dalam maksudnya, menyoal... Umno atau BN yang bertanding? Justru itu, pertikaian yang mengaitkan 'selera semasa' individu tersebut terhadap parti Umno, adakah boleh memberi kesan baik dari sudut sokongan orangramai kepada BN?

5) orangramai melihat jawatan-jawatan tersebut amat berat untuk dipikul. Ia melibatkan hal-hal kecekapan pengurusan dan bidang pendidikan. Maka, kenapa dikaitkan dengan hal-hal kepartian? Ada individu yang pernah disabitkan dengan kesalahan oleh parti, tetapi hari ini dilantik menguruskan hal-hal perundangan di negara ini. Kenapa tidak pula dipertikaikan?

Masyarakat dah tak boleh terima kaedah politik jumud macam ini. Satu-satu jawatan, apatah lagi yang besar-besar, kita kena nilaikan dari sudut pencapaian seseorang. Timbangkan dari aspek kebolehan seseorang. Bukan dari sudut pegangan fahaman politik.

Saya merumuskan inilah jadinya kalau kita berfikiran jumud dalam politik atau kita masih lagi asyik sangat nak berpolitik, walaupun dah bergelar Menteri atau teringin sangat bergelar hero, heroin dalam parti menjelang pemilihan Umno.

Sekadar satu rumusan peribadi.

p/s : suka lihat Eman Manan jadi hero dalam filem 'Matinya Seorang Patriot'.

BOLEHKAH IA MENJADI KENYATAAN?

Hujung minggu ini memang tak akan kebuluran. Dimana-mana pun ada jemputan kenduri kahwin. Saya sendiri dijemput ke 3 buah rumah pengantin. Pening nak 'adjust'. Semua nak memanafaat 'kelebihan' cuti panjang sekolah.

Dalam satu majlis, saya terserempak dengan seorang kawan yang berbeza 'ideologi' parti. Lama tak jumpa, sejak PRU12 selesai. Ajak dia duduk makan bersama-sama. Niat hati nak berbual-bual hal semasa. Dia setuju. Rasanya niat dia pun sama jugak kot.

Kami berbual-bual dari satu topik ke satu topik yang lain. Banyak isu kami bualkan. Tapi, hampir semua isu menyentuh isu-isu politik yang sedang hangat diperkatakan. Tak perlulah saya sebut, rasanya semua kita maklum.

Apa yang saya nak tuliskan di sini ialah satu 'pandangan' daripada kawan saya ini tentang Umno. Satu pandangan daripada 'orang asing' kepada Umno.

Dia mengakui bahawa walaupun dia berlainan ideologi dengan saya kerana dia tidak memilih untuk bersama dengan Umno, tapi sebenar-benarnya dia cukup menyedari bahawa Umno memang sebuah parti yang berjasa kepada bangsa dan negara. Bermula dengan perjuangan menuntut kemerdekaan sehinggalah kepada memajukan negara. Tidak dapat siapa menafikannya.

Hujahnya, Umno adalah tonggak kepada kejayaan ini. Banyak kenikmatan yang telah Umno usahakan dan secara jujur, dia sendiri mengaku sebagai salah seorang yang merasai nikmat tersebut, melalui peluang pendidikan. Dia sendiri tidak berasa segan untuk berterima kasih kepada Umno. Malahan, keluarganya juga begitu.

Cuma, atas sebab tertentu, dia tidak dapat memilih Umno sebagai parti untuk dia sertai. Dia memilih bersama dengan parti lain. Tetapi, secara peribadi, dia tidak mempunyai masalah dengan parti Umno. Secara peribadi juga, dia berasa sedikit sedih dengan apa yang berlaku kepada parti Umno sekarang, sebuah parti politik Melayu terbesar di negara ini. Kenapa?

Kerana dia melihat Umno kini telah terpesong daripada agenda perjuangannya yang asal. Masing-masing di dalam Umno, di semua peringkat dan lapisan, hanya bercakap dan berminat dengan 'agenda tertentu', bukan agenda perjuangan. Kesannya, kini Umno telah tidak dihormati sebagai parti perjuangan, tetapi ialah lebih kelihatan sebagai parti berkepentingan.

Pada kawan saya, jika Umno ( maksudnya seluruh ahli Umno dari atas hingga ke bawah ), mengambil satu ketetapan iaitu memberhentikan kemelut, mempereratkan semula hubungan sesama Umno, mengorak langkah bekerja kuat untuk rakyat dan meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara melebihi selera sendiri, nescaya, bukan sahaja pada PRU13, pada mana-mana PRU yang lain pun, Umno tidak akan kalah kepada mana-mana parti. Tidak ada satu parti pun yang mempunyai jentera keahlian yang besar, pengalaman mentadbir yang luas dan nama sehebat parti Umno. Jika tidak, percayalah, tidak mustahil Umno akan lenyap daripada kamus politik negara ini.

Saya terdiam. Memandangnya bercakap jelas memperlihatkan keikhlasannya memberi pandangan. Saya tidak pun menjawab. Dia pun tidak menyambung percakapan. Masing-masing meneruskan suapan nasi ke mulut. Sehinggalah kami berpisah daripada majlis.

Sehingga sekarang, saya tertanya-tanya, dalam keadaan Umno hari ini, bolehkah ia menjadi kenyataan ?

Sekadar perbualan peribadi.

p/s : suka dengar bunyi kompang masa majlis kenduri kahwin. Tapi, sekarang ini dah ramai guna cd bunyi kompang.