Thursday, June 5, 2008

MINYAK : KEJUTAN TAK DIUNDANG

Tidak perlu ulas panjang. Semua orang sudah maklum kenaikan mendadak harga minyak secara tiba-tiba. Ramai sedang membahaskannya, bergantung kepada skop pandangan masing-masing. Apapun keputusan sudah diumumkan, tidak akan berubah - 'dianjak layu, dianggur mati'.

Saya juga tidak mahu terkecuali. Nak juga memberi komen pasal isu ini. Bukannya nak menyibuk tetapi sekadar mewarnaikan lagi dunia demokrasi. Lagipun, sebagai pemunya kenderaan, isu ini sudah pasti terpalit juga kepada saya.

Saya tidak mahu menyentuh soal peratusan kenaikan, punca kenaikan, kesan kenaikan dan lain-lain perkara berkait dengannya. Ramai pakar dan 'bukan pakar' dah bercakap dari sudut ini.

Apa yang saya nak komen ialah kaedah yang digunapakai Kerajaan dalam membuat keputusan isu ini - ' kejutan tak diundang '.

Umum menyedari isu minyak ini adalah masalah dunia. Dan umum juga mengikuti perkembangan yang sedang diatur oleh Kerajaan di dalam menangani isu ini. Antaranya ialah larangan kepada kenderaan luar dan yang paling difahami ialah apa akan dilakukan pada bulan Ogos. Sedikit demi sedikit, rasanya rakyat makin lebih memahami.

Entah apa sebabnya, tiba-tiba semalam seluruh rakyat Malaysia diberi kejutan dengan pengumuman kenaikan harga minyak. Lebih daripada 40% naik. Benar, kita telah dibiasakan dengan budaya kejutan-kejutan menerusi Akademi Fantasia, tetapi kejutan tersebut tidak memberi kesan kepada soal kehidupan seorang manusia. Apatah lagi kepada mereka yang berkehidupan susah.

Tahukah kita, kenapa penurunan ayat-ayat suci Al Quran dilaksanakan dengan berperingkat-peringkat, sedangkan Allah swt Maha Berkuasa, lagi Maha Kaya? Kerana ada hikmahnya. Ia berkait dengan soal fitrah dan fikrah manusia.

Justru itu, kalaulah sekiranya Kerajaan mengambilkira hikmah ini di dalam membuat keputusan menaikkan harga minyak, saya cukup yakin rakyat akan lebih memahami dan menerimanya. Tidaklah jadi seperti hari ini. Walau apapun yang Kerajaan cuba jelaskan rasionalnya, ia lebih diterima secara negatif berbanding positif. Tak boleh salahkan rakyat, merekakan orang yang terkejut. Tentulah pengumuman itu disambut dengan berbagai-bagai perasaan - ' dalam laut boleh diduga, dalam hati siapa yang tahu '.

Bagi saya, hanya mampu berdoa semoga isu ini tidak memburukkan lagi keadaan sedia ada. Masing-masing kena mengambil langkah bersesuaian bagi menangani isu ini mengikut kemampuan sendiri.

Kepada Kerajaan, semoga beberapa langkah susulan secara berkesan dapat dicari segera bagi mengurangkan impak ekoran keputusan kenaikan harga minyak.

Cuma, kadangkala saya mengeluh dan terfikir yang Kerajaan sekarang ini ibarat ' lambai tak nampak, seru tak dengar '.

Sekadar keluhan peribadi.

p/s : jarang terima lambaian orang.

7 comments:

abe MIE 'TERJAH' said...

salam..

naik minyak orang malaysia jadinya...

apa nak jadi nie...

kalau ginie, BN terus tumbanglah... sebelum kena tumbang, PM- Pak Lah Minyak kena turun, insya allah dan mudahan masalah minyak akan diatasi.

pkrpasdap.blogspot.com

Anonymous said...

Senang aje kalau tak nak rakyat berdemo

Minyak naik lagi. Rakyat gelisah, susah hati. Satu pilihan yang mereka ada untuk menyatakan kegelisahan mereka ialah melalui demonstrasi aman.

Senang saja kalau tak nak rakyat buat demo. Iaitu kepimpinan melalui tauladan. Andaikata semua pemimpin di Malaysia ini menunjukkan contoh sudah pasti rakyat akan kurang gelisah mereka akibat kenaikan harga petrol.

Pemimpin gesa rakyat ubah cara hidup , pemimpin bagaimana ?

Pemimpin gesa rakyat guna motosikal , pemimpin bagaimana ?

Pemimpin gesa rakyat guna kerete cc/kapasiti kecil , pemimpin bagaimana ?

Pemimpin gesa rakyat jimat penggunaan elektrik dan air , pemimpin bagaimana ?

Pemimpin gesa rakyat guna pengangkutan awam/bas/LRT , pemimpin bagaimana ?

Pemimpin gesa rakyat berkongsi kereta , pemimpin bagaimana ?

Pemimpin gesa rakyat makan bersama keluarga di rumah , pemimpin bagaimana ?

Pemimpin gesa rakyat melancong dalam negeri , pemimpin bagaimana ?

Pemimpin gesa rakyat agar bercucuk tanam , pemimpin bagaimana ?

Pemimpin gesa rakyat belanja berhemah , pemimpin bagaimana ?

Sila tambah lagi senarai ini

Pemimpin gesa rakyat ……………. , pemimpin bagaimana ?

Mohd Nadzri Kamsin said...

Domino effect atau dalam bahasa melayu - kesan limpahan. Kalau harga minyak naik, sudah tentu akan melimpah kepada perkara-perkara lain seperti pengangkutan, makanan& minuman, barangan pengguna. Kesannya samada besar atau kecil bergantung kepada samada ia berkait rapat secara langsung atau tidak langsung dengan minyak. Ia juga boleh dipengaruhi apabila peniaga mengambil kesempatan atas kenaikan harga minyak.

my-fikirr menulis said...

Wkmslm abe mie,

Secara ringkas, ada benarnya pdgn abe mie.
Secara realiti, ada byk perkara lagi yg perlu dikaji.

Tqvm.

my-fikirr menulis said...

Assalamualaikum orang jauh,

Ringkasnya, kepimpinan melalui teladan. Pasti diterima.
Utk itu, pdgn Sdra ada hujahnya.

Cuma, ia sedikit keterlaluan dlm konteks memahami tugasan pemimpin.

Tqvm.

my-fikirr menulis said...

Assalamualaikum Sdra Nadzri,

Utk penerangan Sdra, tqvm.

Letting the time pass me by said...

Kalah kejutan akademi fantasia kali ini...

Agak-agaknya PM pun tahu Rakyat Malaysia memang suka kejutan demi kejutan...